JOHOR BAHRU: Calon baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir meraih 50,052 undi bagi kerusi Parlimen Johor Bahru, mengalahkan Tan Sri Shahrir Abdul Samad (BN) yang meraih 30,270 undi.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng, juga berjaya mempertahankan kerusinya untuk penggal kedua dengan 24,002 undi, berbanding pesaingnya, calon BN, Ang Boon Heng, yang memperoleh 11,532 undi.
Bagi DUN Larkin, calon PKR Mohd Izhar Ahmad menang selesa dengan 25,012 undi mengatasi dua pencabarnya iaitu calon BN, Datuk Yahya Jaafar yang mendapat 16,422 undi dan calon PAS, Zakiah Tukirin sebanyak 3,233 undi.
Keputusan rasmi undi diumumkan Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Parlimen Johor Bahru, Md Rofiki A Shamsudin di Dewan Serbaguna Jabatan Kerja Raya (JKR), di sini, sebentar tadi.
Sumber : Berita Harian