Sebar kebenaran tangkis Islamofobia

Kita tidak boleh menafikan keganasan dalam kalangan umat Islam kerana realitinya memang ada Muslim ekstrem yang mangsanya tidak mengira agama, termasuk sesama Muslim di dunia Islam serta masyarakat Barat.

- Gambar hiasan

Namun, kita perlu menunjukkan perkara baik yang sebenarnya menjadi amalan, budaya dan fahaman majoriti umat Islam, sama ada di negara Islam atau di Barat.
Nampak mudah, hakikatnya masih ada yang kabur dan berasakan ada 'sesuatu' mengenai Islam menyebabkan timbul sikap prejudis. Tidak kira apa yang diperkatakan atau dilakukan umat Islam, ia tidak memberi sebarang kesan.
Antara puncanya, pengaruh media mencetuskan perasaan dan dasar Islamofobia yang lebih gemar memaparkan berita serangan serta tragedi terkini, iaitu isu ingin diketahui atau boleh 'dijual.'
Profesor Agama dan Hubungan Antarabangsa dan Pengajian Islam, Universiti Georgetown, Amerika Syarikat (AS), Prof John L Espesito, berkata bagi masyarakat yang langsung tidak tahu atau pernah kenal orang Islam, bahaya berita seperti itu adalah mereka nampak gambaran negatif sahaja.
Peranan media
"Media memainkan peranan penting. Walaupun boleh menjadi positif, apa yang banyak dipaparkan ialah kisah letupan dan konflik.
"Begitu juga media di Amerika Syarikat. Perkara itu mempengaruhi masyarakat," katanya kepada media selepas menyampaikan Ceramah Umum: Islamofobia dan Polisi Baru AS Terhadap Dunia Islam di Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS), Kuala Lumpur.
Beliau yang juga pengasas Pusat Alwaleed untuk memahami Islam-Kristian di Sekolah Perkhidmatan Luar Walsh berkata, sebagus mana pun media Al Jazeera, ia tetap dikritik kerana golongan berkenaan tidak mahu mendengar kebenaran disampaikan.
Esposito berkata, ada juga usaha menerusi media yang dapat membantu menjelaskan dan memberi peluang kepada Muslim berkongsi pandangan serta perasaan mereka berdepan isu Islamofobia.
Contoh diberi ialah dokumentari oleh wartawan dan penulis, Katherine Anne Couric berjudul The Muslim Next Door yang menemuramah umat Islam untuk membicarakan pelbagai isu berkaitan kehidupan Muslim di AS.
Sumber  : Berita Harian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==