Rara bagai bermimpi

BENTONG: Syefura Othman berasa seakan bermimpi apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) atas tiket PKR, semalam.

CALON muda Pakatan Harapan Young Syefura Othman pada sidang media deklarasi bersama calon anak muda di Pejabat Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). - Foto Mahzir Mat Isa

Wanita berusia 28 tahun itu mengakui kemenangan diraih adalah tanggungjawab besar kerana ia pertama kali beliau bergelar wakil rakyat, selepas memegang jawatan Ahli Majlis Perbandaran Kajang sebelum ini.
"Sebagai Ahli Majlis, saya hanya menjaga kira-kira 33 kawasan penempatan tetapi sekarang perlu menjaga 23,000 penduduk untuk Bukit Tinggi, Sungai Dua dan berhampiran Genting Highlands.
"Ia pasti memberi cabaran baharu namun saya teruja, saya akan meneliti janji Pakatan Harapan di Bentong seperti disenaraikan dalam manifesto," katanya di sini, hari ini.
Syefura yang lebih dikenali sebagai Rara tidak menyangka bakal memenangi kerusi itu dengan majoriti agak besar iaitu 3,710 undi.
"Berdasarkan maklum balas pengundi sepanjang berkempen, saya hanya menjangkakan kemenangan dengan majoriti kecil namun keputusan semalam memang mengejutkan.
RARA mengedarkan risalah Manifesto Pakatan Harapan ketika berkempen di pasar pagi FELDA Mempaga
"Saya akan pergi ke kawasan yang pernah saya berkempen untuk menyatakan penghargaan kepada pengundi atas sokongan diberi.
"Tumpuan saya selepas ini adalah untuk memperbaiki infrastruktur di kawasan ini," katanya.
Syefura yang terkenal dengan imej gemar menggayakan pakaian tradisional Melayu, berjanji mengotakan 10 ikrar dalam manifesto Pakatan Harapan.
Beliau yang memperoleh 9,873 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lau Hoi Keong dan calon PAS, Roslan Md Esa.
Sementara itu, calon PKR bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Triang, Leong Yu Man, berkata kejayaannya mengekalkan kerusi berkenaan dengan majoriti besar bermakna tanggungjawab diamanahkan rakyat kepadanya turut meningkat.
Beliau berjaya membuktikan usia muda bukan penghalang baginya menyelami denyut nadi dan keperluan rakyat di kawasan berkenaan.
"Walaupun Pahang masih dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN), saya berusaha membawa permasalahan rakyat di Triang ini dalam sidang DUN kerana rakyat sudah memberi mandat.
RARA (kiri) bersama calon DAP DUN Sabai, T R Kamache (tengah) dan calon DAP DUN Bilut, Lee Chin Chen meraikan kemenangan selepas diumumkan menang bagi ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Jubli Sultan Ahmad, Bentong. - Foto BERNAMA
"Saya akan cuba melunaskan semua janji dalam manifesto secara beransur-ansur sehingga PRU akan datang, terutamanya urusan berkaitan tanah di daerah Bera ini," katanya ketika
dihubungi di sini, hari ini.
Yu Man, 33, memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 6,454 undi mengalahkan calon BN, Tan Tin Loon.
Yu Man memperoleh 11,222 undi manakala Tin Loon memperoleh 4,768 dan ia adalah kemenangan penggal kedua buatnya.
Sumber  : Berita Harian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==