WASHINGTON/JAKARTA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Ketujuh Malaysia semalam.

Pemimpin AS itu juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana kempen pengundian aman walaupun dalam persekitaran penuh persaingan.
Dr Mahathir mengetuai pakatan pembangkang mencapai kejayaan bersejarah dalam pilihan raya kelmarin, menamatkan pentadbiran 60 tahun Barisan Nasional.
Pemimpin Malaysia itu mengangkat sumpah jawatannya semalam.
Kenyataan dikeluarkan setiausaha media Rumah Putih lewat semalam berkata, AS berharap untuk bekerja sama rapat dengan Malaysia dalam mengukuhkan hubungan keduanya.
Sementara itu, Australia mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir atas kejayaan pilihan raya dan menjangka hubungan dua hala keduanya diperkukuhkan.
Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dan Menteri Luarnya, Julie Bishop dalam satu kenyataan bersama berkata, Australia dan Malaysia memiliki hubungan kaya, meluas dan mendalam dipenuhi potensi serta berkongsi kepentingan dan nilai.
Mereka berkata, kerajaan Australia berharap untuk terus bekerja dengan Malaysia bagi mengukuhkan perkongsian dan rakan antara negara dan rakyat.
Pada masa sama, Presiden Indonesia, Joko 'Jokowi' Widodo mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir atas kejayaan beliau dalam panggilan telefon rasmi dan berkata, hubungan kedua-dua negara akan kukuh di bawah pentadbiran baharu itu.
"Saya gembira mendengar bahawa proses demokratik di Malaysia berjalan lancar dan selamat.
"Saya percaya, di bawah kepimpinan Dr Mahathir, hubungan Indonesia dan Malaysia akan pulih lanjut dan berdoa beliau sentiasa diberi kesihatan yang baik untuk menunaikan mandat rakyat Malaysia," kata Jokowi kepada Dr Mahathir dalam kenyataan dikeluarkan hari ini. -Agensi
Sumber : Berita Harian