Tony Pua catat majoriti tertinggi, Jeffrey Kitingan terendah

PUTRAJAYA: Putrajaya: Kerusi Parlimen Damansara, Selangor mencatatkan majoriti undi paling tinggi peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan 106,903 undi yang dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tony Pua.

TONY Pua (kiri) catat majoriti undi tertinggi manakala Jeffrey Kitingan terendah dalam PRU-14. - Foto NSTP

Pua menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ryan Ho Kwok Xheng dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Datuk Wong Mun Kheong.
Selain itu, majoriti undi paling tinggi lain yang direkodkan adalah di Parlimen Subang yang dimenangi calon PKR, Wong Chen dengan 92,353 undi, Parlimen Klang oleh calon PKR, Charles Santiago (78,773 undi); Parlimen Bangi yang dimenangi calon PKR, Dr Ong Kian Ming (68,768 undi); Parlimen Petaling Jaya yang dimenangi calon PKR, Maria Chin Abdullah (57,137 undi) dan Parlimen Seputeh yang dimenangi Teresa Kok (56,059 undi).
Majoriti undi paling rendah dimenangi calon bagi kerusi Parlimen direkodkan di Parlimen Keningau yang dimenangi calon Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dengan hanya 45 undi dalam pertandingan enam penjuru masing-masing daripada calon Parti Warisan Sabah (Jake Nointin); BN (Datuk Daniel Kinsik); Parti Cinta Sabah (Jius Awang); Bebas-Kunci (Maimin @ Jeffrus Rijan); Bebas-Buku (Datuk Justin Guka).
Majoriti undi paling rendah lain yang turut direkodkan di Parlimen Tasek Gelugor (81 undi); Parlimen Kimanis (156 undi); Parlimen Bagan Serai (172 undi); Parlimen Kuala Pilah (200 undi) dan Parlimen Jasin (219 undi).
Sementara itu, majoriti undi paling tinggi dimenangi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula direkodkan di DUN Subang Jaya dengan 48,272 undi diikuti DUN Kinrara (45,212 undi); DUN Bukit Lanjan (40,233) undi); DUN Bandar Baru Klang (39,928 undi) dan DUN Balakong (35,538 undi).
Majoriti undi paling tinggi DUN Subang Jaya itu dimenangi calon PKR, Michelle Ng Mei Sze yang menewaskan calon BN, Chong Ah Watt dan calon Bebas (Gajah) Toh Sin Wah.
Di peringkat DUN majoriti undi paling rendah pula dimenangi di Ajil oleh calon PAS, Maliaman Kassim dengan hanya empat undi selepas mendapat 8,132 undi mengalahkan calon BN, Ghazali Taib yang mendapat 8,128 undi.
DUN Hulu Bernam yang dimenangi calon BN, Datuk Rosni Sohar, pula hanya mencatat 20 undi majoriti untuk menewaskan calon PKR, Mohd Amran Sakir dan calon PAS, Mohammed Salleh Ri.
Selain itu, majoriti undi paling rendah lain yang direkodkan di DUN Chenderiang, Perak dengan 39 undi; DUN Sanglang, Perlis (42 undi); DUN Jabi, Terengganu (55 undi); DUN Tahan, Pahang (69 undi); DUN Changkat Jong, Perak (67 undi); DUN Selinsing (97 undi) dan Semerah (98 undi), masing-masing di Kelantan.
INFO:
Majoriti undi paling tinggi (Parlimen):

1. P106 Damansara - 106,903 undi
2. P104 Subang - 92,353 undi
3. P110 Klang - 78,773 undi
4. P102 Bangi - 68,768 undi
5. P105 - Petaling Jaya - 57137 undi
6. P122 Seputeh - 56,059 undi
Majoriti undi paling rendah (Parlimen):
1. P180 Keningau - 45 undi
2. P042 Tasek Gelugor - 81 undi
3. P176 Kimanis - 156 undi
4. P058 Bagan Serai - 172 undi
5. P129 Kuala Pilah - 200 undi
6. P139 Jasin - 219 undi
Majoriti undi paling tinggi (DUN):
1. N31 Subang Jaya - 48,272 undi
2. N30 Kinrara - 45,212 undi
3. N37 Bukit Lanjan - 40,233 undi
4. N45 Bandar Baru Klang 39,928 undi
5. N27 Balakong - 35,538 undi
Majoriti undi paling rendah (DUN):
1. N05 Hulu Bernam - 20 undi
2. N47 Chenderiang - 39 undi
3. N15 Sanglang - 42 undi
4. N05 Jabi (55 undi)
5. N09 Tahan (69 undi)
6. N56 Changkat Jong (67 undi)
7. N12 Selinsing (97 undi)
8. N17 Semerah (98 undi)
Sumber  : Berita Harian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==