Pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dicabar

KUALA LUMPUR: Pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, boleh dicabar di Mahkamah Persekutuan kerana wujud 'locus standi' untuk berbuat demikian.

AHLI Parlimen Bagan Datuk merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas ahli-ahli parlimen Barisan Nasional dan Pas keluar meninggalkan Majlis Angkat Sumpah dan Persidangan Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata pembangkang mempunyai maklumat yang boleh dipercayai pemilihan Mohamad Ariff itu tidak mengikut Peraturan 4(1) Dewan Rakyat.
Beliau yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, beliau mempunyai huraian dan asas surat cara pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu itu tidak diserahkan kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada atau sebelum 2 Julai lalu.
"Pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh disifatkan sebagai tidak sah dan tidak mengikut peraturan, maka ia boleh dicabar di Mahkamah Persekutuan.
"Ia untuk mengetahui tafsiran peruntukan itu sama ada ia bercanggah dengan Perlembagaan atau tidak.
"Sesiapa saja boleh cabar, tidak semestinya PAS. Orang awam dan rakyat boleh cabar kerana mereka juga pihak berkepentingan. Saya rasa ada 'locus standi'," katanya kepada NSTP di Lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, beliau dan majoriti Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertindak keluar dewan bagi membantah pelantikan Mohamad Ariff yang disifatkan tidak mengikut peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.
Pembangkang mendakwa kerajaan gagal menyerahkan notis mencalonkan Mohamad Ariff sebagai Yang Dipertua dalam tempoh 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.
Dewan Rakyat Penggal ke-14 mula bersidang hari ini dengan didahului majlis mengangkat sumpah Ahli Parlimen yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum diikuti barisan Kabinet dan Ahli Parlimen lain.
Sumber : Bharian
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==