SUNGAI PETANI: Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff, tidak terjejas dengan peletakan jawatan Naib Ketua Bahagian bersama ketiga-tiga ketua sayap dan lebih 40 ahli jawatankuasa UMNO bahagian itu.

"Mereka perlu menunjukkan bukti yang kukuh sebelum menuduh saya terbabit politik wang dan mereka juga boleh menghantar laporan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk mengambil tindakan ke atas saya termasuk dipecat.
"Saya anggap tindakan mereka ini adalah berniat jahat dan cuba mengaibkan saya kerana tidak dapat menerima kekalahan ketua mereka," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Shahanim berharap surat peletakan jawatan pemimpin berkenaan diserahkan dalam masa terdekat.
"Saya tidak berasa terjejas dengan tindakan mereka, malah menunggu surat peletakan jawatan rasmi bagi melantik ketua sayap baharu yang bersedia bekerja dengan saya demi melancarkan tugas UMNO bahagian," katanya.
Beliau yakin amanah yang diberikan oleh perwakilan dengan memilihnya sebagai ketua bahagian baharu adalah kerana inginkan perubahan di dalam UMNO yang dipimpin oleh golongan muda, di samping menghargai jasa bakti yang dicurahkan kepada parti dan rakyat selama 17 tahun.
Semalam, Naib Ketua UMNO Bahagian, Muhamad Effendi Mashum bersama Ketua Wanita, Wan Mohalina Wan Mohamad; Ketua Pemuda UMNO, Mohd Rahmat Darus dan Ketua Puteri UMNO, Mashitoh Mohamad Yusoff mengumumkan melepas jawatan.
Mereka memberi alasan ketidakwajaran kepemimpinan bahagian yang baharu diberi mandat dengan mendakwa ada unsur politik wang dalam pemilihan kelmarin.
Pemilihan UMNO Bahagian Sungai Petani kelmarin, menyaksikan Shahanim yang juga kakak kepada Mashitoh, dipilih sebagai Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani selepas mengalahkan penyandang, Datuk Abd Rahim Saad, manakala jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian dimenangi Mohd Rodhi Rejab.
Sumber : Berita Harian