Kes perkahwinan bawah umur masih disiasat

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kes perkahwinan bawah umur membabitkan budak perempuan berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan masih lagi disiasat dalam pelbagai aspek membabitkan beberapa agensi kerajaan.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertindak sebagai penyelaras kepada siasat berkenaan.
Katanya, adalah tidak bijak untuk menghukum sesuatu isu sebelum semua bukti dikumpulkan dan penyiasatan diselesaikan.
"Sebagai kerajaan, kami perlu bertindak mengikut undang-undang Persekutuan. Inilah yang dimaksudkan dengan kedaulatan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun yang dikatakan warga Thailand dengan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu tersebar luas sejak beberapa hari lalu dan mengundang reaksi pelbagai pihak.
Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak itu juga adalah warga negara Thailand.
Pada 9 Julai lalu, lelaki yang berkahwin dengan budak 11 tahun itu dikenakan hukuman denda berjumlah RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.
Jumaat lalu, lelaki yang juga peraih getah itu mengakui sudah menghantar permohonan pendaftaran perkahwinannya dengan kanak-kanak 11 tahun itu kepada Pejabat Agama Jajahan Gua Musang.
Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pendirian kerajaan adalah jelas dan konsisten sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan pada 2 Julai lalu.
"Kementerian tegas menentang perkahwinan kanak-kanak dan kami sedang mengambil langkah-langkah untuk menaikkan usia minimum perkahwinan kepada 18 tahun.
"Pegawai kami sedang mengusahakannya dan pendirian kami mengenai isu ini tidak berubah. Tindakan yang akan di ambil untuk kes ini mestilah berasaskan kepada bukti.
"Kenyataan mengenai perkara ini hanya akan dikeluarkan selepas siasatan selesai dijalankan," katanya .
Beliau berkata, kerajaan memahami kemarahan yang ditimbulkan daripada insiden berkenaan, namun adalah penting untuk masyarakat tidak membiarkan perasaan peribadi menentukan tindakan yang patut diambil.
"Adalah tidak adil untuk menghukum seseorang melalui media sosial hanya kerana perasaan kita mengenai isu ini," katanya.
Sumber : Bharian

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==