KUALA LUMPUR: Laporan beberapa media mendakwa Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 18 Februari tahun depan, adalah tidak tepat.

DATUK Seri Najib Razak keluar dari perbicaraan berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi beliau dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, semalam. - Foto BERNAMA
Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan berkata, Mahkamah Tinggi tidak menetapkan sebarang tarikh perbicaraan, sebaliknya hanya menyatakan tarikh lapang bagi perbicaraan itu boleh ditetapkan berdasarkan jadual Hakim Mahkamah Tinggi.
Kenyataan itu berkata, Mahkamah Tinggi juga dengan jelas menyatakan tarikh perbicaraan hanya akan ditetapkan selepas sebutan kes di mahkamah iaitu pada 8 Ogos depan.
"Tarikh perbicaraan bagi jenayah kolar putih yang rumit dan membabitkan dokumen yang banyak jarang sekali ditetapkan pada tarikh pertuduhan, yang juga kehadiran pertama pihak berkaitan di mahkamah.
"Pihak pendakwaan juga tidak dijangkakan untuk menyampaikan dokumen-dokumen pada hari yang sama, sebaliknya dokumen berkaitan akan disampaikan kepada pihak pembelaan sebelum bermulanya perbicaraan.
"Pihak pendakwaan bercadang untuk memohon kepada Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2018 supaya tarikh perbicaraan ditetapkan pada bulan November tahun ini," kata kenyataan itu, hari ini.
Semalam, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah dan rasuah wang berjumlah RM42 juta, membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Jabatan Peguam Negara turut menegaskan, pasukan pendakwaan akan menentang 'gag order' atau perintah larangan sementara yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi ketika sesi pendengaran kes pada 8 Ogos depan.
Perintah larangan sementara itu adalah bagi menghalang media daripada melaporkan berhubung merit kes terbabit.
"Gag order yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi atas permohonan lisan dibuat oleh peguambela, yang dibantah pasukan pendakwaan, adalah bersifat sementara.
"Permohonan bertulis secara rasmi oleh pihak pembelaan, yang disokong afidavit menyatakan sifat dan had sebenar 'gag order' itu, ditetapkan untuk pendengaran pada 8 Ogos 2018," katanya.

Sumber : Berita Harian