KPDNKK perlu buktikan 70 peratus barang turun harga

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digesa mendedahkan laporan kajian menunjukkan 70 peratus barangan turun harga.

KPDNHEP digesa mendedahkan laporan kajian menunjukkan 70 peratus barangan turun harga. - Foto hiasan

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata pendedahan laporan itu perlu supaya rakyat dapat membuat perbandingan antara kenyataan Menteri KPDNHEP, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dengan realiti harga di pasaran.
Katanya, kenyataan Saifuddin mengenai penurunan harga 147 barangan sejak Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkadar sifar pada 1 Jun lalu, adalah meragukan tanpa bukti dan butiran kajian dilaksanakan Majlis Harga Negara.
"Saya mendapat banyak rungutan rakyat menyatakan harga barangan tidak mengalami penurunan walaupun GST diturunkan pada kadar kosong peratus, apatah lagi sewaktu tempoh musim perayaan masih lagi berlangsung ketika ini.
"KPDNHEP seharusnya sedar ada sebilangan peniaga yang terlebih dulu menaikkan harga barangan sebelum GST diletakkan pada kadar sifar dan sebarang penurunan harga selepas itu hanyalah mengembalikan harga barangan itu kepada harga asal," katanya menerusi Facebook, hari ini.
Saifuddin dalam laporan BH sebelum ini berkata, tinjauan 147 barangan di 1,688 premis antara 1 Jun hingga 30 Jun lalu mendapati 70 peratus barangan basah, kering, keperluan bayi dan sebagainya turun harga antara 0.04 peratus hingga 13 peratus.
Malay Mail pula melaporkan Saifuddin berkata, antara barangan yang turun harga itu adalah beras Cap Faiza dan bawang merah kecil rose.
Shahril berkata, bawang merah kecil rose yang sebenarnya barangan berkadar sifar GST sebelum 1 Jun, mengalami kenaikan harga sehingga RM8 sekilogram pada 29 Mei lalu berbanding harga asal RM7 sekilogram, berdasarkan Laporan Harga Purata Terkini Peringkat Runcit Komoditi Harian dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
"Pada 23 Jun lalu, harga puratanya adalah RM7.50 sekilogram. Ini jelas bermakna, harga naik terlebih dulu sebelum berlakunya penurunan.
"Perkara ini diakui Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman, menerusi tinjauan mereka mendapati harga barangan asas masih lagi mahal walaupun selepas GST kadar sifar dilaksanakan," katanya.

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==