KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pemantau Malaysia Baru membuat dua laporan polis terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, hari ini.
PRESIDEN Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam. - Foto fail NSTP
Laporan itu dibuat secara berasingan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, laporan itu dibuat untuk menggesa satu siasatan dilakukan terhadap kedua-dua individu berkenaan kerana didakwa memfitnah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan mengamalkan politik dendam.
Katanya, laporan pertama dibuat terhadap Shukri selepas tindakan beliau membekukan akaun keluarga Najib yang dilihat mempunyai unsur membalas dendam.
"Langsung tidak munasabah tindakan membekukan akaun cucu Datuk Seri Najib, iaitu Adam Razak, yang baru berusia 10 bulan, mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
"Kita syak tindakan Datuk Seri Mohd Shukri ini dibuat untuk membalas dendam berdasarkan apa yang dikatakan oleh beliau dalam sidang media di awal pelantikannya.
"Selain itu, kita juga syak tindakan membekukan akaun ahli keluarga Najib yang lain seperti anak-anaknya Nooryana Najwa, Ashman, Nizar dan Puteri Norlisa adalah untuk menggagalkan usaha membayar separuh lagi wang jaminan Isnin ini," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perhimpunan di hadapan Kompleks Sogo di sini, hari ini.
Perhimpunan itu turut disertai hampir 50 individu merangkumi ahli NGO dan penyokong Najib.
Lokman berkata, laporan terhadap Dr Mahathir pula dibuat di atas tindakan beliau sejak tiga tahun lalu yang memfitnah dan menuduh Najib mencuri wang berjumlah RM2.6 billion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Fitnah ini kemudian dipercayai oleh rakyat Malaysia yang kemudian mengambil keputusan untuk mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
"Saya amat terkejut apabila pendakwaan Rabu lalu terhadap Najib langsung tidak menyentuh mengenai RM2.6 billion ini.
"Maka, saya gesa polis segera melakukan siasatan berdasarkan dua laporan yang dibuat ini, seterusnya membubarkan parlimen dan adakan pilihan raya semula kerana kerajaan yang dipilih pada pilihan raya lalu adalah berdasarkan fitnah," katanya.
Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, menafikan dakwaan akaun bank milik cucu Najib turut dibekukan ekoran siasatan 1MDB.
Ia sekali gus menolak dakwaan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, bahawa akaun peribadi miliknya serta anak lelakinya berusia 10 bulan dibekukan, yang dibuat menerusi muat naik di Facebook bertajuk Malaysians for Civil Liberty (Rakyat Malaysia untuk Kebebasan Sivil).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Shaharuddin Abdullah, berkata perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran polis, namun pihaknya tetap melakukan pemantauan di sekitar perhimpunan berkenaan dan berharap ia berjalan dengan aman.
Tambah beliau, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan sekiranya mereka menimbulkan kekacauan atau melakukan sebarang kesalahan sepanjang perhimpunan itu.
Sumber : Berita Harian