PDRM tunggu tindakan bekas PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tunggu dan lihat susulan kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ingin menyaman Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).

KETUA Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berucap pada Mesyuarat Agung Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Asyraf Hamzah

Setakat ini, PDRM belum terima sebarang permohonan daripada pihak Najib yang mendakwa serbuan dan rampasan yang dilakukan JSJK itu kononnya tidak mengikut Prosedur Operasi Standart (SOP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sedia maklum berhubung tindakan Najib yang sebelum ini mengemukakan saman sivil terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Pada masa ini kami (PDRM) masih belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak Datuk Seri Najib berhubung tindakan saman yang dikemukakan dan saya tidak dapat untuk mengulas lebih lanjut tentang perkara ini.
"Apa yang penting, pihak kami ingin melihat apakah yang sebenarnya bentuk melanggar SOP seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib," katanya dalam sidang media sempena Mesyuarat Agung Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad, di sini, hari ini.
Mohamad Fuzi berkata, pihak polis juga tidak ingin membuat sebarang komen balas terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Najib sehingga siasatan yang dijalankan selesai.
"Dia (Najib) boleh cakap apa yang hendak dikatakannya dan kami hanya menunggu sebarang tindakan susulan serta permohonan rasmi berhubung isu pelanggaran SOP ini.
"Perkara ini adalah berkaitan dengan peruntukan undang-undang yang ditetapkan dan dia sendiri sudah mengemukakan saman, maka kita (PDRM) tunggu dan lihat sajalah," katanya.
Selain Amar Singh, dua lagi penyiasat kanan kes 1MDB yang disaman oleh Najib adalah Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull, dan Peguam Negara, Tommy Thomas.
Peguam Badrul Abdullah yang mewakili Najib mendakwa ketiga-tiga individu terbabit bertindak secara prejudis terhadap anak guamnya sepanjang tempoh siasatan.
Sumber : Berita Harian

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==